PDRM FC dikenakan hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM menjelang aksi final kedua MFL Challenge Cup.
Jawatankuasa Tatatertib FAM mendapati The Cops telah menurunkan pemain yang tidak berkelayakan dalam aksi final pertama yang berlangsung pada 15 Februari lalu.
Aksi tersebut menyaksikan Safiee Ahmad dibawa masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua. Walau bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu tidak sepatutnya tersenarai dalam aksi berkenaan.
Ini kerana Safiee perlu menjalani penggantungan satu perlawanan kerana mengutip dua kad kuning.
Dua kad kuning itu diraih dalam aksi suku akhir pertama menentang Melaka FC dan aksi separuh akhir kedua menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Sehubungan dengan itu, The Cops didapati bersalah kerana melanggar Artikel 57 (berkenaan ketidaklayakkan) yang dibaca bersama Artikel 32 (berkenaan perlucutan hak) dalam Kod Tatatertib FAM.
Susulan itu, PDRM telah dihukum dengan dilucutkan hak perlawanan dan dikira telah tewas dalam aksi final pertama dengan keputusan 3-0. The Cops turut diarah membayar denda RM3,000.
Keputusan ini dilihat memberi kelebihan kepada Selangor FC. Ini kerana pasukan itu tidak lagi bimbang dengan kelebihan dua gol yang sebelum ini dimiliki PDRM dalam aksi final kedua.
Selangor dan PDRM bakal berentap buat kali kedua di Stadium MBPJ pada 22 Februari ini bagi menentukan juara terbaru MFL Challenge Cup.