Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menghukum gantung perlawanan buat pertahanan Perak FC, Tommy Mawat Bada.
Pemain berusia 29 tahun itu terlibat dengan insiden pergaduhan menentang tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Arif Aiman Hanapi.
FAM dalam satu kenyataan menerusi Pengerusi Jawatankuasa Tatatertibnya iaitu Datuk Dr. Baljir Singh Sidhu memaklumkan bahawa kedua-dua pemain ini menerima hukuman sama.
FAM memaklumkan bahawa Tommy Mawat telah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play.
Hal ini susulan daripada tindakannya menanduk kepala dan mencengkam leher sebelah kiri Arif Aiman Mohd Hanapi pada perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim.
“Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kelantan Darul Naim FC pada 22 dan 30 November 2024.
“Hukuman ini termasuklah perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kedah Darul Aman FC pada 4 Disember 2024,” jelas FAM.
Bukan itu sahaja, FAM turut mengenakan hukuman kepada MVP Liga Malaysia itu yang terlepas tiga perlawanan bersama JDT.
“Arif Aiman melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play, akibat daripada tindakannya menumbuk di bahagian muka sebelah kiri pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada pada perlawanan tersebut.
“Beliau dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kuala Lumpur Rovers FC pada 20 dan 30 November 2024 serta perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kuala Lumpur City FC pada 8 Disember 2024,” tambah FAM.
Kedua-dua pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama sambil keputusan yang dikeluarkan masih boleh dibuat rayuan.