Advertisements
FAM ‘Gantung’ Arif Aiman Beraksi
FAM
MakanBola
Johor Southern Tigers

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menjatuhkan hukuman gantung perlawanan kepada pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi.

Pemain berusia 22 tahun itu terlibat dengan insiden pergaduhan bersama tonggak Perak FC, Tommy Mawat dalam aksi antara JDT menentang Perak FC.

Kedua-dua pemain ini menerima hukuman daripada Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu yang menyaksikan mereka terlepas tiga perlawanan.

“Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mencapai keputusan-keputusan berikut mengenai kes tatatertib membabitkan insiden yang berlaku ketika perlawanan Liga Super 2024-2025, Perak FC lwn Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 10 November 2024.

Arif Aiman dikesan melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play.

Hal ini akibat daripada tindakannya menumbuk di bahagian muka sebelah kiri pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada pada perlawanan tersebut.

Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia itu menerima hukuman penggantungan perlawanan daripada FAM.

“Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kuala Lumpur Rovers FC pada 20 dan 30 November 2024.

“Ini juga termasuk perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kuala Lumpur City FC pada 8 Disember 2024,” jelas FAM.

Arif Aiman juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama tatkala keputusan yang dikeluarkan masih boleh dirayu.

Pertahanan Perak, Tommy Mawat turut menerima hukuman susulan tindakannya menanduk kepala dan mencengkam leher sebelah kiri Arif Aiman pada perlawanan tersebut.

“Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kelantan Darul Naim FC pada 22 dan 30 November 2024.

“Ini termasuk perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kedah Darul Aman FC pada 4 Disember 2024,” tambah kenyataan tersebut.