Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mendedahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta bantuan badan induk bola sepak Asia itu untuk membuat audit.
Perkara ini dinyatakan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John dalam sidang media selepas Kongres Luar Biasa (EGM) FAM baru-baru ini.
Selain meminta membuat audit ke atas badan induk itu, Windsor turut memaklumkan FAM juga memberi lampu hijau untuk laporan audit dibentangkan dalam kongres sama.
“Sebenarnya FAM yang minta (AFC) buat kualiti audit dalam surat rasmi. FAM juga minta (AFC) bentangkan (laporan) audit pada hari ini (Khamis lalu).
“Sebab mereka yang boleh putuskan sama ada boleh bentangkan atau tidak sebab audit itu untuk mereka. Tapi mereka kata tidak dan suruh bentangkan kepada perwakilan,” katanya.
Windsor melihat keputusan badan induk itu sebagai satu perubahan positif kerana ini menunjukkan FAM bersikap terbuka dan telus.
Beliau turut memaklumkan AFC akan terus membantu FAM terutama apabila barisan kepimpinan baharu badan induk itu dibentuk. Ini kerana terdapat banyak tanggungjawab yang perlu digalas barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM.
Atas sebab itu, pasukan petugas khas AFC diketuai Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany akan terus memantau bagi memastikan reformasi dalaman badan induk itu dilaksanakan seperti yang digariskan dalam audit.