Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus memperkukuh kerjasama dengan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Berhad (MAB).
Kerjasama ini terus diperkukuhkan apabila MAB diumumkan sebagai penaja utama FAM dan Harimau Malaya. Menerusi perjanjian ini, MAB akan menjadi penaja utama FAM dan Harimau Malaya selama tiga tahun.
Majlis pemeteraian perjanjian ini dibuat di Hotel Sama-Sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin lepas.
Pemeteraian perjanjian ini dibuat oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman dan Ketua Pegawai Komersial (CCO) Penerbangan MAB, Dersenish Aresandiran.
Majlis turut disaksikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penerbangan MAB, Ahmad Luqman Mohd Azmi.
Hamidin menyifatkan kehadiran MAB sebagai penaja utama FAM dan Harimau Malaya bukan saja menunjukkan dedikasi mereka kepada arena bola sepak negara.
Malah, perjanjian ini dilihat mampu menjadi pendorong buat kedua-dua entiti itu untuk tampil lebih cemerlang dalam bidang masing-masing.
“Jalinan kerjasama di antara FAM dan MAB bukan sahaja mencerminkan kesetiaan tetapi ia turut menunjukkan dedikasi serta komitmen mereka (MAB) terhadap arena bola sepak negara.
“Ia juga memberi mesej penting kepada penyokong-penyokong skuad kebangsaan di luar sana bahawa FAM bukan sahaja mampu memberikan nilai tambah kepada barisan penaja-penajanya malah dapat memberi impak yang positif terhadap sektor ekonomi negara.
“Saya percaya dengan kehadiran MAB sebagai penaja utama FAM dan skuad bola sepak kebangsaan, pelbagai kejayaan akan dapat digapai bersama,” katanya dalam satu kenyataan.
Sentimen Hamidin turut dipersetujui oleh Ahmad Luqman. Beliau melihat pemeteraian perjanjian ini sebagai tanda komitmen berterusan MAB untuk membawa nama negara ke pentas dunia.
“Sebagai syarikat penerbangan kebangsaan, kami amat berbesar hati dapat meneruskan kesinambungan usaha dan tanggungjawab kami dalam membawa bendera Malaysia ke arena antarabangsa selain menyokong pembangunan sukan dalam negara,” ujarnya.
Tahun 2024 menyaksikan MAB sibuk memperkukuh jenama syarikat penerbangan itu ke pentas antarabangsa.
Selain FAM, MAB juga menjalin kerjasama komersial dengan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.