Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia mengambil tindakan ke atas Arif Aiman Hanapi dan Tommy Mawat Bada berhubung insiden perbalahan yang berlaku pada 10 November lalu.
Aksi Liga Super membabitkan Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) panas apabila kedua-dua pemain tersebut berbalah pada minit ke-82.
Gelagat Arif yang dikesan menumbuk Tommy menjadi bualan hangat peminat bola sepak di media sosial. Ini kerana insiden sebegini selalunya berakhir dengan kad merah buat kedua-dua pemain.
Pada akhirnya, pengadil, Razlan Joffri Ali hanya melayangkan kad kuning kepada kedua-dua pemain selepas kekecohan tersebut berjaya diredakan.
Apabila diminta mengulas isu ini, Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram memaklumkan badan induk itu masih boleh mengambil tindakan ke atas Arif dan Tommy.
“Kita akan menunggu laporan penuh daripada Komisioner Perlawanan dan Penilai Pengadil sebelum mengambil apa-apa tindakan lanjut.
“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM juga akan duduk berbincang untuk meneliti rakaman penuh video insiden berkenaan bagi mencadangkan tindakan lanjut.
“Memang kedua-dua pemain telah dilayangkan kad kuning sejurus insiden tersebut tetapi hukuman tambahan serta tindakan lanjut tetap boleh diambil jika ia dilihat perlu,” katanya.
Sivasundaram turut mengingatkan semua pemain agar bijak mengawal emosi mereka di atas padang. Ini kerana jika mereka melakukan perkara sebegini, ia akan menyusahkan mereka di kemudian hari.
“Secara peribadi, saya melihat ia satu insiden yang serius apabila berlaku tindakan menumbuk dan juga mencekik yang dilakukan oleh kedua-dua pemain tersebut ketika insiden berkenaan.
“Apa pun kita akan tunggu laporan daripada Komisioner Perlawanan dan Penilai Pengadil bagi mengambil tindakan lanjut,” tambahnya.
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan 5-0 JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).