Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil menafikan dakwaan yang mendakwa badan induk bola sepak negara itu telah mengeluarkan amaran kepada Sarawak berhubung kedudukan liga negeri tersebut dalam piramid bola sepak kebangsaan.
Menerusi satu siaran media yang dikeluarkan pada Isnin, FAM menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan, kenyataan rasmi mahupun amaran seperti yang didakwa dalam sebuah artikel yang diterbitkan oleh sebuah portal berita baru-baru ini.
Menurut FAM, badan induk itu juga tidak terlibat dalam menghasilkan, meluluskan atau memberikan sebarang komen kepada sumber yang dirujuk dalam artikel berkenaan.
“FAM ingin menegaskan dengan jelas bahawa FAM tidak terlibat dalam menghasilkan, meluluskan atau memberikan sebarang komen kepada sumber yang dirujuk dalam artikel tersebut.
“Kepada pihak-pihak yang berkenaan, FAM dengan tegas mengesahkan bahawa FAM tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam penerbitan artikel berkenaan mahupun dakwaan yang mengaitkan FAM dengan kenyataan yang dipetik daripada sumber tersebut,” menurut kenyataan itu.
FAM turut menjelaskan bahawa tiada sebarang kenyataan atau amaran pernah disampaikan menerusi mana-mana saluran tidak rasmi bagi menyokong kandungan yang diterbitkan portal terbabit.
Dalam masa sama, FAM memaklumkan bahawa Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee baru-baru ini telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Pertemuan tersebut diadakan bagi menyelaraskan laluan pembangunan bola sepak Sarawak termasuk garis panduan berkaitan pembangunan akar umbi serta perjalanan pemain dari peringkat belia ke arah bola sepak profesional secara lebih terancang dan berstruktur.
Sehubungan itu, FAM menyifatkan tindakan memetik isu berkaitan struktur atau kerangka tadbir urus bola sepak tanpa mengenal pasti identiti sumber secara jelas serta tanpa bukti yang boleh disahkan sebagai tidak bertanggungjawab.
“Sekiranya terdapat sebarang kebimbangan berkaitan tadbir urus atau pengiktirafan, perkara tersebut seharusnya dibangkitkan melalui saluran rasmi yang sewajarnya, bukannya melalui sumber tanpa nama yang hanya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” jelas FAM.
Pada masa sama, FAM menegaskan bahawa pihaknya sentiasa menyokong program pembangunan bola sepak di peringkat negeri dan ahli gabungan selagi ia dilaksanakan mengikut proses tadbir urus yang betul serta mendapat pengesahan rasmi selaras dengan kerangka bola sepak Malaysia.
Malah, FAM turut memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang terus menyebarkan dakwaan tidak disahkan dalam ruang awam akan dipandang serius dan tindakan sewajarnya akan dipertimbangkan bagi mendapatkan penjelasan serta tindakan lanjut.