Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berharap skuad Bawah 23 (B-23) kebangsaan akan menimba sebanyak mungkin pengalaman pada kejohanan Piala Asia B-23 di Uzbekistan dan tiada sasaran tinggi ditetapkan untuk skuad kendalian Brad Maloney itu.
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata pihak FAM mengubah sasaran buat skuad B-23 negara supaya lebih realistik dan berharap skuad muda ini memberikan persembahan terbaik dalam kejohanan tersebut.
“Jika sebelum ini kita sasar ke peringkat separuh akhir tapi saya nak perbetulkan kenyataan itu…diharapkan saingan ini dapat dijadikan satu landasan baik menimba ilmu daripada pasukan Asia yang menyertainya (Piala Asia),” katanya kepada Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
“FAM bukan tidak berani tetapi sasaran itu kena ‘ukur baju di badan sendiri’. Bukan tak yakin tapi kita kena realistik dalam meletak sebarang sasaran.
“FAM memang tidak meletakkan sasaran namun kita berharap skuad B-23 dapat buat yang terbaik, jadi ia satu pendedahan berguna,” katanya.
Pasukan Malaysia B-23 diletakkan dalam kumpulan C Piala Asia B-23 bersama-sama juara bertahan, Korea Selatan dan dua gergasi Asia Tenggara iaitu Thailand dan Vietnam. Pasukan negara bakal memulakan kempen dengan menentang Korea Selatan pada 2 Jun, diikuti Thailand (5 Jun) dan Vietnam (8 Jun). Dua pasukan di tempat teratas akan mara ke pusingan suku akhir.