Advertising
Fandi Ahmad: Sri Pahang 3 Kad Kuning, JDT Tak Ada Satu Pun
MakanBola
Sri Pahang FC

Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad menzahirkan rasa kurang berpuas hati dengan beberapa keputusan dalam aksi terbaru Liga Super.

Aksi terbaru Liga Super membabitkan Tok Gajah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) berkesudahan dengan kemenangan 3-1 buat JDT.

Ad

Dua gol Bergson da Silva dan gol sendiri Adam Nor Azlin memastikan kemenangan ke-15 Harimau Selatan dalam liga. David Rowley menyumbat gol saguhati buat Sri Pahang FC.

Ad

Meskipun akur dengan keputusan perlawanan, Fandi kurang berpuas hati dengan beberapa keputusan yang dibuat pengadil, Ahmad Zuhadi Dzulkifli.

Ini kerana Sri Pahang menerima tiga kad kuning sementara JDT tidak dilayangkan satu pun. Situasi ini membingungkan Fandi kerana pemain-pemainnya terutama penyerang import, Kpah Sherman kerap diterjah pemain lawan.

Ad

“Sekarang permainan bola macam permainan ragbi. Kpah (Sherman) tiga, empat kali kena terjah pada separuh masa pertama. (Kita) tak dapat sepakan percuma, tak dapat apa-apa.

Ad

“Tapi kita kena tiga kad kuning, macam mana? JDT dapat kad kuning? Tiada satu pun, itu yang saya tak puas hati. Bukan saya saja, satu pasukan rasa tak adil,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan itu semalam.

Ad

Atas sebab itu, Fandi berharap isu mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) terutama dalam Liga Super ditambah baik.

Ini kerana beliau bimbang jika situasi ini berterusan, ini dilihat satu perkembangan kurang baik buat bola sepak Malaysia.

“(Isu mutu pengadilan) ini kurang baik untuk bola sepak, kurang baik. Menang kalah itu adat, hari ini kita pun datang untuk mencuri mata,” tambahnya.

Kekalahan ini menyaksikan Sri Pahang jatuh ke tangga kesembilan liga dengan 15 mata. Mereka kini ketinggalan dua mata di belakang juara Piala Malaysia 2021, KL City FC yang mengumpul 17 mata.

Sri Pahang kini mengalihkan fokus untuk aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Perak pada 22 Disember ini.