Farizal Marlias Dedah Faktor Malaysia ‘Kilang’ Penjaga Gol Hebat
MakanBola
KCFC/SFC

Bekas penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias berkongsi beberapa sebab Malaysia melahirkan ramai penjaga gol bertaraf elit.

Antara faktor tersebut ialah kredibiliti dan jumlah minit permainan yang diterima ramai penjaga gol negara dalam Liga Malaysia (Liga M).

Farizal melihat dua faktor ini membantu mereka menyerlah termasuk merebut peluang bila dipanggil menyertai kem Harimau Malaya.

“Saya rasa kredibiliti mereka dan juga peluang yang mereka ada terutamanya bila diberi minit permainan. 

“Saya beri contoh seperti Haziq Nadzli sebelum ini yang mana jarang diberi peluang. Tetapi bila diberi peluang bermain untuk Kuching City, beliau menunjukkan kemampuan beliau. 

“Dan itu yang memberikan peluang pada penjaga-penjaga gol ini untuk menunjukkan kemampuan mereka sendiri,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

Perkara ini turut dipersetujui legenda Harimau Malaya, Datuk Zainal Abidin Hassan. Zainal menambah kualiti jurulatih penjaga gol turut membantu Malaysia melahirkan ramai penjaga gol hebat.

“Saya rasa kita harus memberi tahniah kepada jurulatih-jurulatih penjaga gol. Saya rasa kita melahirkan ramai penjaga gol kita yang baik.

“Ini saya tak menafikan, semua boleh kata ranking yang baik. Kita boleh kata ada lima pemain tempatan kualiti skuad kebangsaan sekarang. Jadi, ini adalah usaha jurulatih-jurulatih mereka.

“Dan saya harap pemain-pemain lain pun akan dilahirkan lagi untuk kebaikan bola sepak,” tambahnya.

Ini turut dibantu dengan statistik rekod tanpa bolos Liga Super di Transfermarkt. Dua penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi Mohamad dan Haziq berada dalam kelompok lima teratas dari segi statistik tersebut.

Syihan dan Haziq masing-masing mengungguli kedudukn pertama dan kedua dengan rekod tanpa bolos sebanyak 15 dan 11 kali.

Penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Al-Hafiz di tangga kelima dengan rekod tanpa bolos sebanyak enam kali.

Hal ini juga menjadikan pertembungan Selangor dan Kuching City dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia cukup menarik. Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 1-1.