Fauzi Pilus Kesan 4 Pasukan Mampu Cabar Posisi JDT

Negeri Sembilan Liga Super Johor Southern Tigers 1 Fauzi Pilus Kesan 4 Pasukan Mampu Cabar Posisi JDT
Johor Southern Tigers
Azim Noor @mohdazim45
9:27am 10/03/2023

Dengan sembilan mata dan perbezaan kelebihan jaringan yang besar, Johor Darul Ta’zim (JDT) menduduki tangga teratas Liga Super ketika ini. Tetapi bagi bekas jurulatih PDRM, Fauzi Pilus, beliau percaya ada empat pasukan yang mampu mencabar kedudukan gergasi selatan tanah air itu.

Ini kerana baginya, tiada yang mustahil dalam bola sepak. Apa yang lebih penting ialah semua pasukan berusaha memperbaiki kualiti pasukan masing-masing termasuk dari segi individu bagi memastikan perebutan kejuaraan liga lebih menarik.

“Kalau kita perhatikan kelajuan permainan, kualiti pemain, ‘aggresiveness, ‘composed’, momentum yang diberikan JDT, memang berbeza dan kita lihat pemain mereka mengejar bola dengan bertenaga dan tahap kecergasan, mereka ada komponen yang lengkap. Mereka pasukan yang ada karakter.

“Selepas tiga perlawanan dengan apa yang sudah ditonjolkan dan atribut yang ada pada mereka, boleh kita katakan peratusan mereka (JDT) memang ke arah itu (juara) tetapi saya berharap janganlah ‘game over’terlalu awal.

“Sebabnya kita tidak mahu impak kepada liga di mana nanti seri liga itu akan hilang. Jadi pasukan bermain untuk apa kalau setakat memenuhi kalendar? Semua pasukan perlu jadi lebih baik untuk bersaing dengan JDT.

“Pasukan lain jangan ketinggalan terlalu jauh. Mereka perlu bermotivasi untuk tingkatkan prestasi bagi mengatasi JDT dan cetuskan kejutan. Tidak dinafikan JDT boleh jadi juara tetapi setidak tidaknya biarlah ia berlangsung dengan sengit,” katanya.

Sejak musim 2016, JDT seakan sukar dicabar bila berada di puncak liga. Dan dengan pencapaian empat trofi pada musim lepas, ramai penyokong Harimau Selatan pastinya menjangkakan pasukan mereka meneruskan kecemerlangan untuk musim ini.

Tetapi berdasarkan pengamatan Fauzi dalam beberapa perlawanan, Selangor, Sabah, Kedah dan Sri Pahang mampu mencabar JDT untuk musim ini.

“Kalau berdasarkan tiga aksi pertama, inilah pasukannya (boleh beri saingan) dan saya tidak nampak lagi pasukan lain. Tetapi apapun, kelebihan besar tetap berada pada JDT.

“Mungkin pelbagai strategi boleh digunakan kerana kita tahu 11 lawan 11 di atas padang. Jangan kisah pada kualiti yang ada tetapi fikir secara positif bagaimana untuk menangani JDT dengan strategi dan taktikal.

“Buktikan ‘nothing to lose’ kerana jika kalah sekalipun, sudah tentu kita dapat pengajaran. Kalau bijak membuat percaturan, mungkin ada kejutan boleh berlaku,” tambahnya.