Penyerang muda Malaysia, Fergus Tierney kini fokus meningkatkan prestasinya bersama kelab Thailand, Chonburi.
Penyerang berusia 21 tahun itu menyertai The Sharks secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada penghujung Julai lalu. Tierney kekal bersama Chonburi sehingga tamat musim 2024/25.
Sejak menyertai kelab berkenaan, beliau telah menjaringkan satu gol daripada empat penampilan. Menariknya, gol yang dijaringkan Tierney dalam aksi Thai League 2 menentang Suphanburi pada 9 Ogos lalu merupakan yang terpantas dalam liga musim ini.
Selain itu, penyerang berdarah Scotland turut membantu Chonburi merekodkan kemenangan 100% dalam liga. Selain Suphanburi, Kanchanaburi, Samut Prakan City dan Chiangmai United turut menjadi mangsa The Sharks.
Ramai peminat bola sepak negara melihat Tierney sebagai pilihan tambahan buat Pau Marti Vicente di bahagian serangan skuad senior Malaysia.
Meskipun mengakui impiannya ialah menyarung jersi Harimau Malaya, fokus beliau ketika ini ialah meningkatkan prestasinya bersama Chonburi.
Tierney percaya jika beliau dapat memenuhi objektif berkenaan, beliau bukan saja membantu Chonburi cemerlang dalam liga. Malah, tidak mustahil impiannya beraksi bersama Harimau Malaya juga akan jadi realiti.
“Memang dapat panggilan ke skuad kebangsaan itu impian saya. Tapi pada masa ini, saya tak terlalu fikirkan pasal itu. Saya nak fokus dengan Chonburi FC dan cuba menang setiap perlawanan di sini.
“Tunjuk bakat kepada jurulatih apa saya boleh buat dan teruskan peningkatan dalam setiap perlawanan. Harap-harap satu hari nanti boleh dapat panggilan ke skuad kebangsaan,” katanya dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam untuk Nadi Arena.
Tierney turut mendedahkan matlamat jangka panjangnya ialah kembali ke JDT pada akhir musim dengan prestasi yang lebih baik.
“Jangka pendek menang setiap perlawanan (bersama Chonburi) kalau boleh. Tapi jangka panjang nak kembali ke JDT dengan prestasi yang lebih baik dari sebelum ini,” tambahnya.
Khidmat Tierney dijangka ditagih jurulatih The Sharks, Pipob On-mo untuk aksi Thai League 2 seterusnya dengan Lampang pada 15 September ini.