Liga Bolasepak Vietnam merupakan liga terbaru yang akan menggunakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR). Di Asia Tenggara, Vietnam merupakan negara ketiga yang memperkenalkan VAR dalam liga selepas Thailand dan Singapura.
Namun, kaedah VAR yang bakal digunakan Vietnam adalah berbeza berbanding Thailand dan Singapura apabila Vietnam menggunakan Sistem VAR Mudah Alih di mana ianya lebih menjimatkan kos berbanding VAR yang diletakkan di stadium.
Sistem VAR mudah alih adalah VAR yang dimasukkan ke dalam sebuah van manakala pengadil VAR akan ditempatkan di dalam van tersebut bagi sesebuah perlawanan bagi menjalankan tugas.
Dikhabarkan Vietnam akan miliki empat buah van yang digunakan sebagai Sistem VAR Mudah Alih. Lebih menarik lagi, dua daripada van tersebut ditaja khas oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) manakala dua lagi van disedikan oleh Liga Vietnam sendiri.
Ini bukanlah kali pertama Sistem VAR mudah alih digunakan kerana sebelum ini pernah digunakan pada Piala Asia AFC 2019, Piala Negara-Negara Afrika, Copa Libertadores dan Copa Sudamericana.