FIFA ‘Layangkan Kad Kuning’ Kepada Indonesia
MakanBola
FIFA
Sponsors

Selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menarik balik hak penganjuran Piala Dunia B-20 daripada Indonesia susulan bantahan terhadap pasukan bola sepak Israel, ramai bimbang negara itu bakal digantung FIFA. Tetapi berdasarkan pengumuman terbaru Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), masih ada sinar buat bola sepak negara itu.

Berdasarkan laporan SNE Sports, Indonesia hanya dikenakan ‘kad kuning’ oleh FIFA dalam bentuk pembekuan dana FIFA Forward kepada keperluan operasi PSSI. Hal ini disahkan sendiri oleh Presiden PSSI, Erick Thohir.

Ad

“Saya hanya boleh katakan, Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t dan doa warga Indonesia terutama penyokong bola sepak, Indonesia dapat mengelak daripada dikenakan tindakan pemulauan daripada bola sepak dunia. Dalam erti kata yang lain, Indonesia hanya dapat kad kuning, bukan kad merah.

Ad

“Selepas saya menyerahkan mesej Presiden Jokowi (Joko Widodo) dan menerangkan pelan biru bola sepak kami, FIFA hanya mengenakan hukuman dari segi pentadbiran dalam bentuk pembekuan dana FIFA Forward untuk keperluan operasi PSSI. Perkara ini akan disemak semula selepas FIFA mengkaji strategi besar dalam membangunkan bola sepak Indonesia.

“Saya sudah mencuba yang terbaik bila bertemu dengan FIFA. Dengan hukuman ini, kita masih boleh meneruskan transformasi bola sepak (Indonesia) dengan FIFA. Dengan hukuman ini juga, kita tidak dilayangkan kad merah tetapi kad kuning agar kita dapat bermain dan bertanding dalam Sukan SEA pada akhir bulan ini,” katanya.

Ad

Sebelum ini, FIFA mengumumkan keputusan menarik balik hak tuan rumah Piala Dunia B-20 selepas membatalkan cabutan undian kumpulan kejohanan yang sepatutnya berlangsung pada penghujung Mac lalu.

Ad

Selain berpeluang beraksi dalam acara bola sepak Sukan SEA 2023, ini juga memberi ruang kepada Indonesia melobi hak tuan rumah untuk mana-mana kejohanan bola sepak. Ini termasuk melobi hak tuan rumah Piala Asia Futsal AFC 2024.

Ad