Final Piala AFF 2022 berkemungkinan besar tidak dapat berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sekiranya Malaysia berjaya melangkah ke pentas akhir pada edisi kali ini.
Seperti yang sedia maklum, SNBJ menjadi venue rasmi buat skuad Harimau Malaya mengharungi kejohanan kali ini yang menyaksikan anak buah Kim Pan-gon berjaya melangkah ke pentas separuh akhir.
Namun begitu, hasrat untuk melihat gelanggang keramat ini menjadi tuan rumah bagi final kali ini masih samar-samar susulan pertembungan jadual dengan konsert yang bakal diadakan di sana.
Konsert Jay Chou itu difahamkan mengambil masa 14 hari bagi kerja pemasangan pentas yang melibatkan 500 krew tempatan dan 185 krew antarabangsa, 45 jentera berat, 200 speaker & 800 lampu.
Ia juga memerlukan peruntukan masa yang sama untuk melakukan kerja-kerja pembukaan semula sekaligus memungkinan aksi final tidak dapat dilaksanakan di Bukit Jalil.
Oleh yang demikian, terdapat beberapa alternatif yang mungkin menjadi pilihan FAM sekiranya venue utama ini benar-benar tidak dapat digunakan.
Antara alternatif stadium di Malaysia ialah Stadium Sultan Ibrahim yang juga merupakan stadium terbaik di Malaysia ketika ini.
Menerusi pengumuman oleh Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), Baginda sedia menawarkan SSI untuk digunakan oleh Harimau Malaya.
Bukan itu sahaja, Harimau Malaya juga boleh memikirkan alternatif lain seperti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang memiliki kualiti padang yang cukup baik selain Stadium Cheras dan Stadium Kelana Jaya kerana merupakan antara stadium di pusat bandar.
Malaysia akan bertemu Thailand bagi aksi separuh akhir esok di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam misi mengulangi kejayaan tahun 2010.