Final Piala Malaysia: Berita Baik Buat Kuching City
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City FC menerima berita baik menjelang aksi final Piala Malaysia musim 2025/26.

Sebelum ini, timbul persoalan dalam kalangan penyokong sama ada beberapa pemain Kuching City dapat diturunkan untuk perlawanan ini. Ini kerana ada yang pernah mewakili jDT seperti Haziq Nadzli dan Ramadhan Saifullah Usman.

Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan Haziq dan Ramadhan dijangka tidak berdepan masalah untuk diturunkan dalam perlawanan itu.

Ini kerana kedua-dua pemain menyertai The Cats secara perpindahan tetap selepas meninggalkan pasukan gergasi selatan tanah air itu.

Malah, kudrat Haziq dan Ramadhan turut ditagih jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak dalam aksi Liga Super dan separuh akhir Piala FA menentang JDT musim ini.

Meskipun begitu, timbul persoalan tentang status dua lagi pemain, Danial Amier Norhisham dan Gabriel Nistelrooy. Ini kerana kedua-dua pemain berstatus pemain pinjaman JDT untuk musim ini.

Isu sama ada kedua-dua pemain ini boleh diturunkan atau tidak juga telah diulas Aidil dalam sidang media praperlawanan pada 22 Mei lalu.

“Macam saya cakap, saya bukan orang terbaik untuk bercakap tentang perkara ini (status pinjaman Danial Amier dan Gabriel). Saya fikir anda kena bercakap dengan jurulatih atau pengurusan JDT,” katanya.

Sekiranya tidak dapat menurunkan dua pemain tersebut, Aidil memiliki banyak pilihan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Danial Amier dan Gabriel.

Malah, beliau juga menegaskan siapa saja yang dipilih beraksi, mereka akan memberikan aksi terbaik menentang JDT.

Wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran kemudiannya berkongsi maklumat terbaru berhubung Danial Amier. Bekas pemain Felda United itu memaklumkan beliau telah mendapat kebenaran JDT untuk beraksi dalam aksi final.