Khabar angin mengenai Malaysia bakal kembali menganjurkan kejuaraan Formula 1 semakin bertiup kencang.
Ini selepas laporan yang mengatakan syarikat petroleum tempatan, Petronas berminat untuk membawa Formula 1 kembali ke Malaysia menurut beberapa sumber.
Pelan untuk membawa semula Formula 1 ke Malaysia ini didedahkan semasa sesi Town Hall syarikat yang diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, kata sumber itu yang enggan dikenali kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media .
Sumber itu juga tidak menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai berita ini. Pihak Petronas, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) juga mengambil pendekatan untuk berdiam diri dahulu berkenaan khabar angin ini.
Tahun lalu, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh berkata, kos untuk menganjurkan perlumbaan Formula 1 adalah terlalu tinggi dan Malaysia mempunyai kekangan kewangan untuk mengadakannya.
Untuk rekod, Malaysia pernah menjadi tuan rumah kejuaraan Formula 1 dunia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sejak 1999 sehingga 2017.
Selepas itu, disebabkan jualan tiket yang merosot dan peningkatan kos penganjuran acara itu, Malaysia tidak lagi menjadi venue untuk kejuaraan Formula 1 yang dikenali sebagai Grand Prix Malaysia Petronas Formula 1 2017.
Max Verstappen memenangi Grand Prix F1 Malaysia terakhir pada 2017 manakala Lewis Hamilton, salah seorang pemandu pasukan Mercedes-AMG Petronas F1, memenangi kejuaraan pemandu pada tahun itu.