Galakan Kim Pan-gon Suntik Semangat Selangor
MakanBola
Selangor FC

Kapten Selangor FC, Faisal Halim mendedahkan galakan jurulatih, Kim Pan-gon membantu pasukan itu meraih kemenangan 2-1 ke atas Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC).

Hal ini dinyatakan beliau selepas aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia yang berlangsung di Kota Bharu baru-baru ini.

The Red Giants pada awalnya ketinggalan pada separuh masa pertama menerusi gol Simen Lyngbo. Dua gol Faisal pada separuh masa kedua memastikan Selangor ceria membawa bekalan satu gol ke Petaling Jaya.

Faisal mengakui motivasi yang diberi Pan-gon pada rehat separuh masa membakar semangat pasukan itu agar tidak putus asa dan terus memburu keputusan positif.

“Beliau sentuh tentang mentaliti, teruskan berjuang dan jangan putus asa. Itu yang Coach Kim (Pan-gon) tekankan,” katanya.

Perkara ini turut dipersetujui Pan-gon yang melihat mentaliti kemenangan sebahagian daripada cara Selangor bermain di atas padang.

“Saya berbangga dengan mereka kerana membina kekuatan seperti ini. Dan inilah cara Selangor yang ada mentaliti kemenangan dan untuk terus memperkuatkan pasukan,” ujarnya.

Keputusan ini menyaksikan rekod kemenangan 100% Pan-gon bersama Selangor kekal bertahan selepas mengharungi tiga perlawanan.

Selepas ini, Selangor dan Kelantan TRW akan kembali berentap di Stadium MBPJ pada 23 Januari untuk memburu tiket suku akhir.