Semangat kesatuan dan kerjasama yang utuh dalam pasukan KL City FC telah membawa prestasi pasukan ke satu tahap yang luar biasa.
Pasukan Lembah Klang ini mencipta satu lagi sejarah apabila mara ke pentas separuh akhir Piala Malaysia 2023 sekaligus berpeluang untuk memahat satu lagi detik terbaik buat mereka.
Kemenangan dengan agregat 2-1 ke atas Sri Pahang FC membuka lembaran bermakna buat anak didik Nenad Bacina selepas berjaya mara ke pentas akhir Piala FA 2023 sungguhpun tewas kepada JDT.
Kerjasama antara barisan pemain, kejurulatihan dan pengurusan pasukan telah membawa satu keharmonian dalam kem KL City.
Malah, mereka juga dikenali sebagai watak yang cukup digeruni memasuki fasa kejohanan piala domestik.
Rekod mara ke pentas akhir tiga kali dalam tempoh tiga tahun membuktikan kesungguhan pasukan untuk mencatat keputusan baik dan menjaga reputasi pasukan.
KL City berjaya menjulang Piala Malaysia pada tahun 2021 sebelum mara ke pentas akhir Piala AFC 2022 namun ditewaskan oleh kelab Oman, Al Seeb.
Kesatuan jiwa para pemain sudah terbukti apabila rata-rata barisan pemain sudah bersama pasukan sejak dua tiga musim yang lalu.
Penambahan berkualiti tidak kira sama ada pemain tempatan atau import membawa persembahan pasukan ke tahap yang lebih baik.
Terengganu bakal menjadi lawan berikutnya buat KL City di pentas separuh akhir Piala Malaysia 2023.
KL City juga sekali lagi berpeluang untuk mara ke final selepas pernah membenam Terengganu pada separuh akhir Piala FA tahun ini.