Bekas pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique mengalami detik cemas apabila terjatuh dari tempat tinggi baru-baru ini.
Akhbar Daily Mail melaporkan insiden ini berlaku semasa beliau berada di Amerika Syarikat bagi mempromosikan pertandingan bola sepak tujuh pemain The Kings League.
Pertandingan ini diasaskan Pique di Barcelona pada tahun lepas. Justeru, lawatannya ke negara Uncle Sam itu bertujuan untuk mempromosi pertandingan berkenaan agar lebih dikenali.
Berdasarkan video yang tular di media sosial, Pique dikatakan sedang mendengar pesanan suara sambil berjalan ke arah seorang peminat yang mahukan tandatangan beliau.
Bagaimanapun, beliau tidak sedar ada lubang antara pentas dengan penghadang yang menghalang peminat. Ini mengakibatkan beliau terjatuh ke dalam ruang sedalam dua meter itu.
Untuk beberapa ketika, ramai peminat bimbang sama ada beliau mengalami kecederaan atau tidak.
Tidak lama selepas itu, Pique dilaporkan dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau bersara pada awal tahun ini selepas 15 tahun membantu Barcelona meraih pelbagai trofi termasuk La Liga dan UCL.
Selain Barca, bek tengah Sepanyol itu pernah beraksi untuk Manchester United selama dua musim. Dalam tempoh itu, Pique memenangi EPL dan UCL.
The Kings League merupakan usaha terbaru Pique yang turut mendapat sokongan legenda bola sepak lain seperti Iker Cassilas dan Sergio Aguero.