Ghani Hassan Bakal Lepas Jawatan Presiden MFL
MakanBola
MFL

Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan memaklumkan bakal melepaskan jawatan sebagai Presiden Malaysian Football League (MFL) dalam tempoh sebulan.

Hasrat itu dizahirkan beliau dalam sidang media pasca-Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026. Ab Ghani memaklumkan beliau tidak mahu memegang kedua-dua jawatan itu terlalu lama dengan FAM memerlukan perhatian segera.

Beliau turut memaklumkan sesi perbincangan untuk memilih pengganti beliau juga sedang dilakukan. Ini bertujuan memastikan operasi MFL berjalan lancar tanpa sebarang isu.

“Saya akan meletakkan jawatan tetapi bukan dalam masa terdekat ini untuk saya menjalankan tugas saya untuk menghabiskannya. Insya Allah tak lama lagi saya akan isytihar peletakan jawatan saya sebagai Presiden MFL.

“Dan pada masa ini, saya dan rakan-rakan saya akan memastikan siapakah yang akan mengambil alih (tempat) saya sebagai Presiden MFL dan menduduki kerusi naib presiden kedua dalam FAM,” katanya.

Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan antara nama yang dicanang sebagai pengganti Ab Ghani ialah Datuk Wira Nur Azmi Ahmad.

Apabila ditanya tentang spekulasi tersebut, beliau memilih untuk tidak melayan spekulasi tersebut. Pada masa sama, Ab Ghani turut mengesahkan beberapa calon telah dikenal pasti sebagai figura yang berpotensi memikul jawatan Presiden MFL.

“Calon sudah ada, sudah nak dibincangkan. Belum boleh beri petunjuk (tentang siapa calon). Itu di luar siapa-siapa boleh komen, siapa-siapa dia boleh cakap siapa pun kan.

“Saya tak boleh komen sebab bukan datang daripada saya ataupun daripada peringkat kepimpinan MFL itu sendiri,” tambahnya.

Terdahulu, Ab Ghani terpilih sebagai presiden selepas mengatasi cabaran Datuk Seri Shahril Mokhtar untuk Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki Penggal 2025-2029.