Giliran Jurulatih Jerman ‘Angkat Kaki’
MakanBola
Germany Football Team

Julian Nagelsmann sah mengundur diri sebagai jurulatih Jerman.

Sky Sports melaporkan keputusan itu diambil bekas jurulatih Bayern Munich itu selepas mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) tentang masa depannya.

Susulan perbincangan itu, Nagelsmann memilih untuk meletak jawatan. Ini seiring dengan kenyataannya sebelum ini bahawa beliau akan mengundur diri jika tidak lagi mendapat sokongan DFB.

“Saya takkan letak jawatan. Jika DFB nak saya kekal sehingga 2028, saya akan kekal. Jika mereka tidak mahu (saya kekal), saya akan tinggalkan projek ini,” katanya baru-baru ini.

Nagelsmann mengambil alih tugas sebagai jurulatih Jerman pada September 2023. Beliau membawa pasukan itu mara ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 2024 sebelum tewas kepada juara, Sepanyol.

Jerman mara ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 tetapi kemaraan mereka disekat pasukan Amerika Selatan, Paraguay. Jerman tewas 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Susulan itu, nama bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mula dicanang sebagai pengganti. Wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano melaporkan nama beliau menjadi pilihan utama DFB sebagai pengganti Nagelsmann.

Meskipun Klopp kini bertugas sebagai ketua bola sepak global Red Bull, beliau memiliki klausa kontrak yang membenarkannya meninggalkan entiti itu dan membimbing Jerman.