Julian Nagelsmann: Saya Tak Akan Letak Jawatan
MakanBola
DFB

Julian Nagelsmann menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan sebagai jurulatih skuad senior Jerman.

Kenyataan tegas itu dizahirkan beliau susulan kekalahan mengejut Die Mannschaft di tangan Paraguay dalam pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia menerusi sepakan penalti.

Selepas terikat 1-1 sepanjang 120 minit perlawanan, Paraguay meraih kemenangan 4-3 secara penalti. Susulan itu, beberapa legenda Jerman berpandangan kedudukan Nagelsmann dalam bahaya akibat keputusan berkenaan.

Bekas pemain pertahanan Jerman, Arne Friedrich berpandangan situasi itu berpotensi berlaku lebih-lebih lagi dengan mengambil kira prestasi tidak menentu pasukan itu dalam Piala Dunia.

“Cara kita bermain sepanjang kejohanan tidak memuaskan. Nagelsmann perlu bersedia menghadapi akibat (daripada prestasi buruk Jerman).

“Ianya mengecewakan tetapi itulah lumrah sukan. Saya akan kata pengembaraan Jerman akan diteruskan tanpa Nagelsmann,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.

Susulan itu, Nagelsmann memaklumkan bahawa beliau akan terus kekal memimpin Jerman sekiranya diberi peluang oleh Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB).

“Saya takkan letak jawatan. Jika DFB nak saya kekal sehingga 2028, saya akan kekal. Jika mereka tidak mahu (saya kekal), saya akan tinggalkan projek ini,” katanya seperti dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.

Jerman mengikut jejak Afrika Selatan dan Jepun yang ditunjukkan jalan keluar dalam pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia.