Giliran Raja Perfume Meterai Kerjasama Dengan Kelantan RW
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Kelab Pantai Timur, Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) mengumumkan kerjasama dengan syarikat minyak wangi, Raja Perfume.

Kerjasama itu diumumkan pengurusan Kelantan RW menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka. Kelab menzahirkan rasa gembira kerana Raja Perfume sudi menjadi penaja untuk kempen musim 2026/27.

“Kelantan Red Warrior FC berbesar hati mengumumkan bahawa kami telah menjalin satu lagi kerjasama penajaan dengan syarikat anak Kelantan, Raja Perfume.

“Terima kasih Boss Long kerana sudi berkongsi visi dan misi sekaligus menjadi penaja kami demi merealisasikan matlamat utama mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri Kelantan dalam saingan Liga Malaysia musim 2026/27,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Jenama Raja Perfume yang diasaskan pemilik, Wan Mohd Rahimie Syazerin Ab Rahim cukup dikenali ramai. Ini kerana Raja Perfume bukan saja dikenali dengan produk wangian yang berkualiti pada harga berpatutan.

Malah, Raja Perfume turut menggerakkan misi sosial iaitu membasmi kemiskinan dan membantu orang mendapatkan pekerjaan.

Usaha murni Wan Mohd Rahimie atau mesra disapa Boss Long membantu ramai orang yang tidak berkemampuan keluar dari belenggu kemiskinan dan meraih pendapatan lumayan.

Sebelum ini, jenama pakaian terkenal, Elrah telah diumumkan sebagai penaja Kelantan RW untuk menghadapi musim 2026/27.