Satu memorandum bagi pembukaan sebuah gimnasium Khabib Nurmagomedov di negeri Johor telah ditandatangani.
Perkara ini dikongsikan oleh Menteri Besar Johor, YB Onn Hafiz Ghazi yang baru selesai melakukan lawatan ke Khabib Gym yang terletak di Abu Dhabi bersama delegasi kerajaan negeri.
“Syukur Alhamdulillah, saya dan delegasi Kerajaan Negeri Johor berkesempatan mengadakan perjumpaan bersama Khabib “the Eagle” Nurmagomedov, bekas Juara Dunia UFC Kategori Lightweight di Abu Dhabi.”
Jelas Onn Hafiz, idea penubuhan gimnasium ini timbul ketika satu sesi mengadap di antara DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor dan Khabib Nurmagomedov pada Oktober lalu.
“Semasa sesi mengadap DYAM Pemangku Sultan Johor dan Khabib Nurmagomedov pada awal Oktober lalu, kami telah berbincang mengenai program pembangunan belia dan cadangan untuk membuka gimnasium latihan di negeri Johor.”
Oleh itu, satu perjanjian persefahaman turut ditandatangani dalam satu majlis di Abu Dhabi ini melibatkan pihak Majlis Sukan Negeri Johor dan ikon sukan tempur dunia tersebut.
“Menerusi perjumpaan hari ini, saya telah menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) bersama Khabib Nurmagomedov bagi pembukaan Khabib Gym di negeri Johor.”
“Delegasi Kerajaan Negeri juga berpeluang melawat The Eagle, MMA atau Khabib Gym yang terletak di Abu Dhabi. Saya amat kagum melihat sendiri fasiliti bertaraf dunia yang ada di sini, termasuk MMA octagon serta ruang khas untuk seni mempertahankan diri seperti Jiu-Jitsu, Muay Thai, boxing, dan wrestling.”
“Selain itu, gimnasium ini juga dilengkapi dengan peralatan lengkap untuk latihan kardio dan angkat berat. Fasiliti pemulihan juga turut disediakan, termasuk sauna dan kolam renang yang memberi peluang kepada pengguna mencapai prestasi terbaik dalam menjalankan latihan.”
Onn Hafiz turut berharap dengan penubuhan gimnasium itu nanti, rakyat Johor khususnya warga belia mampu menerima manfaat besar hasil kerjasama yang cukup bersejarah ini.
“Semoga dengan kerjasama ini, Johor akan terus maju dalam pembangunan ummah serta dapat membuka lebih banyak fasiliti sukan bertaraf dunia, yang memberi manfaat kepada Bangsa Johor terutamanya Orang Muda Johor dalam dunia sukan.”