Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor. sempat meluangkan masa bertemu lagenda MMA, Khabib Nurmagomedov di Malaysia.
Menerusi satu hantaran di laman sosial HRH Crown Prince of Johor menyaksikan DYAM Tunku Ismail menyambut baik kedatangan Khabib yang merupakan lagenda Ultimate Fighting Championship (UFC).
“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terima mengadap Khabib Nurmagomedov, bekas Juara Dunia UFC Kategori Lightweight pada hari ini, 1 Oktober 2024.”
DYAM Tunku Ismail turut sempat duduk membincangkan program-program khusus buat pembangunan belia bersama Khabib selain cadangan bagi membuka sebuah gimnasium buat Khabib di Johor.
“Antara topik perbincangan adalah mengenai program pembangunan belia dan cadangan membuka gimnasium latihan rasmi Khabib di negeri Johor. Allah Peliharakan Sultan.”
Khabib tiba di Malaysia sejak beberapa hari yang lalu bagi menjayakan Program Khabib Nurmagomedov Live in Malaysia 2024 anjuran Faith Events yang berlangsung baru-baru ini.
Program yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur itu juga turut dihadiri jaguh muda Muay Thai negara, Johan Ghazali sebagai panel undangan dan Alif Satar sebagai moderator.