Nama penyerang Gombak FC, Isa Raman menjadi sebutan dalam aksi Liga A1 Semi Pro minggu ketujuh baru-baru ini.
Selepas meninggalkan Terengganu FC II, khidmat penyerang berusia 23 tahun itu dirisik beberapa kelab Liga Super. Namun begitu, Isa memilih Gombak untuk meneruskan karier permainannya.
Meskipun kerap diturunkan sebagai pemain gantian, beliau sentiasa memberikan yang terbaik buat pasukan yang dibimbing Shahrom Kalam itu.
Dan aksi terbaru menentang YPM FC pada 3 Ogos lalu menunjukkan Isa mula mempamerkan bisanya sebagai peledak gol.
Selepas menerima hantaran daripada kapten Firdaus Azizul, Patrik Majeski menanduk bola sebelum Isa melakukan rembatan akrobatik yang menewaskan Yusuf Akma Mohd Rawi.
Ini gol kedua beliau dalam saingan liga musim 2024/25. Gol ini turut menjadikan Isa berkongsi gelaran penjaring terbanyak Gombak bersama Majeski setakat ini.
Walau bagaimanapun, hajat Gombak pulang dengan tiga mata tidak kesampaian apabila YPM menyamakan kedudukan menerusi bekas penyerang kebangsaan, Azammuddin Akil.
Keputusan 1-1 ini menyaksikan Gombak dan YPM masing-masing menduduki tangga kelapan dan ke-12 selepas mengharungi tujuh perlawanan.
Selepas ini, Gombak bakal berdepan KL Rovers pada 11 Ogos. Manakala YPM pula bakal dicabar Melaka pada 10 Ogos.