Ramai peminat bola sepak tidak kering gusi melihat insiden jaringan gol yang berlaku dalam aksi terbaru Turkish Super Lig (divisyen utama bola sepak Turki) awal pagi ini.
Gol yang dimaksudkan ialah gol yang dijaringkan oleh pemain sayap Alanyaspor, Oguz Aydin pada minit ke-38 semasa menentang Trabzonspor.
Penjaga gol Trabzonspor, Ugurcan Cakir menghantar bola semula kepada rakan sepasukan dari Belanda, Stefano Denswil dengan tujuan menghantar bola kembali ke hadapan.
Entah di mana silapnya, Denswil dilihat tidak menyedari bola sudah dihantar kepadanya. Kekurangan fokus daripada bek tengah Belanda itu membuka ruang buat Aydin menewaskan Cakir buat kali kedua.
Di media sosial, ramai peminat bola sepak tidak kering gusi melihat apa yang berlaku. Ada juga yang menyifatkan gol tersebut terjadi kerana ketiadaan komunikasi antara Cakir dan Denswil.
Selain gol pada minit ke-38, Aydin turut menyumbat gol awal pada minit kelapan. Kapten, Efecan Karaca memastikan Alanyaspor muncul pemenang dengan gol ketiga pada minit ke-73.
Trabzonspor menyumbat gol saguhati menerusi bekas pemain sayap Arsenal, Nicolas Pepe pada minit ke-90.
Disebabkan kekurangan komunikasi antara kedua-dua pemain, Cakir dan Denswil turut mendapat markah rendah oleh Sofascore. Kedua-duanya masing-masing mendapat 6.3 dan 6.2 mata.
Kekalahan ini menyaksikan Trabzonspor kekal di tangga ketiga Turkish Super Lig dengan 46 mata. Manakala Alanyaspor di tangga ke-13 dengan 33 mata.