Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah terus membuat persiapan menjelang pusingan terakhir Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024.
Ini berdasarkan beberapa gambar Hafizh yang dimuat naik di platform media sosial rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT), Johor Southern Tigers baru-baru ini.
Pelumba yang berlumba dalam kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000) itu dilihat memanfaatkan kemudahan gimnasium di pusat latihan JDT sebagai persediaan untuk pusingan terakhir di Buriram, Thailand.
“Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah memanfaatkan fasiliti canggih yang ada di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam sebagai persediaan mengharungi perlumbaan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 di Buriram, Thailand.
“Pusingan keenam yang juga terakhir musim itu akan berlangsung pada 6 hingga 8 Disember 2024 di Litar Antarabangsa Chang dengan Hafizh kini di kedudukan ketiga dengan 137 mata. Luaskan Kuasamu Johor,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Hafizh berharap dapat bangkit dalam pusingan ini agar dapat memintas dua pelumba yang menerajui kategori ASB1000. Ketika ini, pelumba berusia 30 tahun itu menduduki tangga ketiga kategori berkenaan dengan 137 mata.
Yuki Kunii yang mewakili SDG Team HARC-PRO Honda Ph menerajui kategori ASB1000 selepas meraih 142 mata. Sementara Andi Farid Izdihar yang mewakili Honda Asia-Dream Racing pula meraih 140 mata.
Selepas berjaya meraih podium dalam perlumbaan kedua ASB1000 di Sepang pada September lalu, Hafizh berharap itu menjadi momentum buat dirinya meraih kemenangan di Buriram.