Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah berdapan ujian awal menjelang perlumbaan pertama Asia Road Racing Championship (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Thailand.
Ini selepas jenteranya lewat tiba di litar akibat masalah kargo. Kelewatan tersebut mengakibatkan Hafizh tidak dapat menguji jentera JDT Racing Team dalam sesi ujian hari ini.
Meskipun mengakui masalah tersebut sedikit sebanyak menjejaskan perancangannya, beliau melihat itu sebagai satu ujian menjelang perlumbaan pertama ARRC 2024.
Malah, Hafizh tidak patah semangat dan bersedia memanfaatkan sesi latihan bebas esok sebagai persediaan untuk hari perlumbaan nanti.
“Itu bukan dalam kawalan kita, motosikal lambat sampai. Jadi, kita baru dapat maklumat motosikal dalam perjalanan dan akan sampai pada malam ini (pagi hari Khamis).
“Jadi, tiada tekanan kepada saya dan para mekanik. Tidak kira waktu bila motosikal akan sampai, kalau kita mahu bekerja di paddock, kita akan sediakan mengikut cara yang betul.
“Memang ambil masa untuk semua persiapan kerana untuk sesi ujian, kita tahu kita tak boleh sertai sesi ujian.
“Kita faham dan saya juga mengikuti setiap sesi setiap penunggang keluar melakukan sesi ujian mereka. (Mereka keluar untuk dapatkan) maklumat tentang litar.
“Saya juga akan lakukan dua sesi pantas dengan jentera saya (selepas jentera siap dipasang untuk sesi latihan bebas esok),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom untuk Nadi Arena.
Hafizh membawa cabaran JDT Racing Team untuk kategori Asian Superbike 1000cc (ASB 1000). Perlumbaan pertama ARRC 2024 bakal bermula dari 15 hingga 17 Mac ini.