Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah kekal konsisten dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 dengan meraih tempat kedua di Motegi, Jepun.
Sementara TKKR Racing Team yang diwakili Azlan Shah Kamaruzaman pula meraih kedudukan keempat perlumbaan.
Selepas cemerlang bergelar juara di negara kelahirannya, Jepun buat kali pertama dalam kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000), Sho Nishimura dilihat mahu mengulangi pencapaian tersebut.
Walau bagaimanapun, pelumba TKKR Racing Team itu perlu berhadapan cabaran pelumba-pelumba lain termasuk Hafizh dan Azlan yang mengintai gelaran juara perlumbaan kedua ASB1000 hari ini.
Hafizh berharap dapat menambah satu lagi kemenangan buat pasukannya, JDT Racing Team dalam saingan ARRC 2024.
Sebaik perlumbaan bermula, Nishimura segera memecut ke hadapan sambil diikuti oleh pelumba-pelumba lain. Rakan senegara, Yuki Kuni mengekori di tempat kedua dengan Hafizh berjaya menduduki tempat keempat.
Kedudukan pendahulu yang dipegang Nishimura tidak bertahan lama apabila dipintas oleh Kuni. Hafizh terus berusaha memburu dua pelumba berkenaan apabila menduduki tempat ketiga pada pusingan kedua perlumbaan.
Kelebihan pendahulu yang dimiliki Kuni memastikan beliau mendahului dengan kelebihan melebihi satu saat. Malang buat Nishimura apabila dia terbabas dan terjatuh pada pusingan keenam.
Dengan pelumba Jepun itu terkeluar daripada perlumbaan, cabaran TKKR Racing Team kini digalas Azlan yang menduduki tempat ketiga. Sementara Hafizh pula terus menghambat Kuni di tempat kedua.
Azlan yang berada di tempat ketiga dikejar dua pelumba Honda Asia-Dream Racing Team, Andi Farid Izdihar dan Nakarin Atiratphuvapat. Pada akhirnya, Nakarin berjaya memintas beliau untuk menduduki tempat ketiga.
Dengan kelebihan 5.9 saat di hadapan Hafizh, itu sudah cukup buat Kuni bergelar juara perlumbaan kedua ASB1000. Sementara Nakarin dan Azlan pula masing-masing terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga dan keempat.
Meskipun meraih kedudukan podium keempat buat JDT Racing Team, itu sudah cukup buat Hafizh untuk memintas Andi sebagai pendahulu terbaru kejuaraan ASB1000 ARRC 2024.