Pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin Abdullah meneruskan kecemerlangan dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 apabila meraih tempat ketiga di Motegi, Jepun.
Selepas bergelar juara buat kali pertama dalam kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000) di Zhuhai, China pada April lalu, beliau mahu terus cemerlang di litar kegemarannya, Motegi.
Meskipun perlu bersaing dengan pelumba-pelumba tuan rumah seperti Yuki Kuni dan Soichiro Minamoto, pelumba JDT Racing Team itu dilihat tidak gentar.
Ini dibuktikan dalam sesi kelayakan apabila beliau menduduki tempat kelima dengan catatan masa 1:50.031.
Kedudukan itu dimanfaatkan sepenuhnya Hafizh apabila perlumbaan pertama ASB1000 bermula. Beliau memintas beberapa pelumba termasuk Kuni sebelum menduduki tangga kedua di belakang pelumba TKKR Racing Team, Sho Nishimura.
Kuni yang memulakan perlumbaan sebagai pendahulu perlumbaan turun ke kedudukan keempat. Pelumba Jepun itu terus ditimpa malang apabila berlanggar dengan pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat.
Insiden itu bukan saja menyebabkan Kuni terkeluar daripada perlumbaan. Ini turut mengakibatkan tumpahan minyak atas litar yang terhasil daripada jentera Nakarin.
Keadaan ini mengakibatkan perlumbaan dihentikan seketika bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dapat dijalankan. Susulan itu, semua pelumba ASB1000 bakal berlumba dalam perlumbaan pertama baru sebanyak sembilan pusingan.
Sebaik perlumbaan pertama baru dimulakan, Nishimura dan Hafizh membuat permulaan baik. Gelaran pendahulu yang dipegang pelumba Jepun itu tidak bertahan lama apabila dipintas pelumba berusia 30 tahun itu.
Meskipun mendahului, jurang perbezaan antara Hafizh dengan Nishimura amat rapat. Ini memberi peluang kepada pelumba Jepun itu kembali mendahului sekaligus meletakkannya di tempat kedua.
Hafizh kemudiannya kembali mendahului perlumbaan tetapi pada pusingan terakhir, beliau kembali dipintas pelumba Jepun itu dan Nakarin. Dan itu sudah cukup buat Nishimura bergelar juara perlumbaan pertama ASB1000.
Sementara Nakarin yang membawa cabaran Honda Asia-Dream Racing Team menduduki tempat kedua. Manakala Hafizh pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.
Pelumba negara itu masih memiliki peluang untuk mendapatkan satu lagi kejuaraan di Jepun menerusi perlumbaan kedua ASB1000 yang berlangsung esok.