Pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui terhutang budi kepada Duli Yang Maha Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.
Ini kerana TMJ banyak membantu merealisasikan impiannya kembali berlumba dengan jentera yang hebat untuk pasukan JDT Racing Team.
Sokongan yang diberi baginda bukan saja memastikan Hafizh mampu membawa nama Johor dan Malaysia ke pentas antarabangsa.
Malah, ini secara tidak langsung mengembangkan lagi jenama JDT dalam arena sukan lain selepas tinju, hoki ais dan futsal.
“Saya pun nak berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) kerana menyokong saya untuk tahun 2024. Ini bukan disebabkan gaji saya atau perkara lain, ini mentaliti JDT yang ingin jadi terbaik dalam setiap sukan.
“Yang terbaru ialah sukan permotoran selepas tinju dan hoki ais. Dan sekarang liga futsal pun tengah berjalan. Pra-musim bola sepak juga sedang berjalan.
“Saya pula akan mula (berlumba) pada minggu hadapan. Jadi, bila saya tunjuk itu dalam masa yang singkat sebab jentera kita sampai pada bulan Februari dan selepas itu, kita jalani ujian dengan penutup dan topi keledar belum bersedia untuk dicat.
“Jadi, bila nak lancar (jentera) itu, semua sudah sedia pada masa yang tepat. Jadi, TMJ pun terkejut dan tanya kepada saya, ‘Macam mana topi keledar dan motosikal boleh siap?’
“Saya kata, ‘Disebabkan TMJ.’ Ini kerana tukang cat yang melakukannya ialah orang tempatan yang berasal dari Johor tetapi menetap di Kuala Lumpur. Tukang cat itu pun memang orang yang terkenal.
“Jadi, saya berterima kasihlah kepada beliau kerana dapat menyiapkan motosikal. Jadi, baginda amat gembira dengan hasilnya. Saya tak sabar nak mulakan musim pada minggu hadapan.
“TMJ pun ada beritahu saya, ‘Jangan stres, tiada tekanan kerana kita akan lakukannya secara berperingkat-peringkat.’ Cuma baginda nak melihat penambahbaikan dalam setiap sesi.
“Masa hari perlumbaan, hanya cuba beri cabaran habis-habisan. Kalau ada peluang cabar kejuaraan, kita akan cuba,” katanya kepada pembaca berita Nadi Arena, Dayang Zainatul Aqma dan Lily Hamzah semalam.
JDT Racing Team bakal membuka tirai saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 di Litar Antarabangsa Chang pada 15-17 Mac ini.