Hamidin Akui FAM Khilaf Soal Bajet Tahunan
MakanBola
FA Malaysia

Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin mengakui badan induk itu terkhilaf dari segi pembentangan bajet tahunan untuk kongres badan induk itu.

Perkara ini dinyatakan beliau apabila ditanya tentang teguran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) terhadap FAM berhubung aspek berkenaan.

Laporan audit AFC mendapati FAM gagal membentangkan bajet tahunan badan induk itu kepada Kongres FAM sejak tahun 2016. Ini dilihat melanggar peraturan statutori badan induk itu sendiri.

Apabila diminta mengulas perkara itu, Hamidin mengakui kekhilafan FAM kerana tidak meletakkan pembentangan bajet tahunan sebagai sebahagian daripada agenda tahunan kongres.

“Mungkin ada kekhilafan di situ saya rasa tentang tidak letak agenda (pembentangan bajet tahunan) dalam kongres,” katanya dalam sidang media selepas Kongres Luar Biasa Pertama FAM 2026.

“Tapi dalam mesyuarat kewangan dan mana-mana mesyuarat Exco, memang telah dinyatakan. Hanya bajet itu tidak dimasukkan dalam kongres tahunan.”

Hamidin turut memberi jaminan pembentangan bajet tahunan akan diadakan dalam kongres FAM edisi berikutnya dan mengambil kira teguran yang dibuat AFC.

“Ya, ia akan dijalankan pada tahun-tahun mendatang. Macam bajet ini sama macam AFC dan FIFA, boleh dipinda. Contoh bajet RM41 juta kemudian kita akan pinda kalau bajet itu boleh turun ke atau tidak.

“Tapi Insya Allah, FAM akan letakkan kertas (pembentangan bajet tahunan) dalam mesyuarat agung seterusnya,” tambahnya.

Kongres Luar Biasa FAM turut menyaksikan 94 pindaan statut yang dikemukakan AFC mendapat persetujuan sebulat suara semua ahli gabungan badan induk itu.

Claim Money Packet TnG