Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin mendedahkan sebab badan induk itu meminta bantuan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk membuat audit.
Sebelum ini, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John mengesahkan FAM meminta AFC membuat audit ke atas badan induk itu.
Beliau turut memaklumkan FAM turut memberi lampu hijau kepada AFC membentangkan dapatan hasil audit dalam Kongres Luar Biasa (EGM) FAM baru-baru ini.
Perkara itu turut disahkan Hamidin apabila ditanya tentang perkara tersebut. Beliau melihat audit AFC penting untuk membantu menambah baik dan membawa FAM ke tahap yang lebih baik.
“Saya ulang balik FAM yang nakkan benda ni disemak supaya mendapat satu tahap yang tinggi pada masa akan datang. Macam FIFA dan AFC kata kita ambil kesempatan supaya kita bina pada satu tahap yang tinggi dan kita nak penstrukturan semula FAM betul-betul antara yang terbaik.
“Tetapi kena faham apa yang telah diumumkan dan yang dibuat oleh kualiti audit ni banyak mengikut AFC dan FIFA. Dan ini adalah tahap dia yang tinggi di mana kebanyakan statut itu tidak, bukan hanya Malaysia tetapi banyak negara pun yang tidak mengikut tahap-tahap ini.
“Tetapi bukan bererti salah. Saya nak sampaikan ini satu pembaharuan dibuat seperti yang Datuk Windsor katakan, menyatakan bahawa perkara yang kita buat ini kita nak menaikkan dan membaik pulih FAM,” katanya.
Hamidin turut memaklumkan FAM telah melaksanakan tadbir urus mengikut statut dan prosedur operasi standard (SOP). Pada masa sama, beliau melihat audit ini membuka ruang kepada penambahbaikan badan induk itu secara berperingkat.