Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris, Datuk Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin meminta agar peminat sukan negara kembali berpijak ke bumi yang nyata.
Menurut beliau, semua pihak harus sedar bahawa Olimpik ini berada di peringkat tertinggi di dunia dan kontinjen negara hanya membawa bilangan atlet yang kecil berbanding negara lain.
“Setelah kita lihat, kita faham Olimpik ini adalah peringkat dunia dan kita perlu berpijak di bumi yang nyata bahawa kita ini (hanya) menghantar 26 atlet,” ujar beliau kepada Astro Arena.
Tambah beliau lagi, dalam misi untuk meraih pingat emas pertama dalam sejarah, kedudukan ranking atlet negara juga perlu diambil kira dengan memberi contoh mengenai kejayaan Datuk Azizulhasni di Olimpik Tokyo lalu.
“Kita juga perlu lihat bahawa kita ini cuba untuk memburu pingat emas tetapi kita perlu memahami hakikat di mana kedudukan ranking (atlet) kita,”
”Maknanya yang paling dekat adalah Datuk Azizulhasni yang meraih pingat perak di Tokyo 2020 dan dia juga berada di ranking 3 terbaik sehingga sampai ke Olimpik (ketika itu).”
”Kita tengok dalam sukan badminton, kita tidak ada pun pemain di ranking nombor 1, tetapi pemain badminton meraih (2 pingat gangsa) atau memberi persembahan terbaik di peringkat tertinggi.”
Menurut laman rasmi Olympics, Malaysia menamatkan edisi di Paris di tempat ke-80 dengan kutipan dua pingat gangsa, berkongsi kedudukan bersama Albania, Grenada dan Puerto Rico.