Harimau Malaya membawa sasaran terbaik menjelang sepak mula Piala Mitshubishi Electric ASEAN 2024.
Perkara ini dijelaskan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin dalam satu sesi sidang media di Wisma FAM hari ini.
Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali Ke-13 bagi penggal 2021-2025 memaklumkan berkenaan perkembangan terbaru berhubung skuad kebangsaan.
Katanya, gabungan antara pemain muda dan berpengalaman dijangka dapat memberikan saingan terbaik terutamanya bagi pembukaan cabaran menentang Kemboja pada 8 Disember 2024.
“Kita tahu liga sedang bermula dan skuad yang dibentuk pula antara pemain muda dan berpengalaman. Kita akan cuba memberikan saingan yang terbaik di bawah kendalian Pau Marti.
Beliau berharap agar skuad yang dibentuk kali ini akan memberikan cabaran sehabis baik setelah kali terakhir muncul juara 14 tahun lalu.
“Kita akan cuba untuk mara dan memberikan cabaran kepada pasukan lain ,” katanya ketika ditemui hari ini.
Pau Marti telah pun mengumumkan senarai 26 orang pemain Harimau Malaya yang dibarisi 8 pemain bawah 23 tahun dengan purata umur skuad adalah 25.9 tahun.
Hanya 12 orang pemain yang dikekalkan daripada kem terdahulu iaitu ketika bertemu Laos dan India selain mahu memberi peluang yang baik untuk meluaskan kumpulan pemain yang layak menyertai skuad Harimau Malaya.
Hal ini terutamanya bertujuan ke arah penglibatan mereka di pentas antarabangsa pada masa hadapan termasuklah Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan.
Harimau Malaya akan menempuhi ujian besar apabila beraksi dalam saingan Piala Mitshubishi Electric ASEAN 2024 bermula 8 Disember ini.