Harimau Malaya dijangka bakal menerima seorang lagi pemain warisan yang disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin.
Baru-baru ini, hasrat untuk melihat tonggak utama Go Ahead Eagles, Mats Deijl untuk mewakili Harimau Malaya tidak kesampaian.
Hal ini susulan beliau tidak melepasi syarat FIFA kerana pemain berusia 27 tahun itu hanya memiliki pertalian darah dengan Malaysia menerusi moyangnya sahaja.
Usaha FAM untuk mendapatkan pemain berkualiti buat skuad kebangsaan tidak terhenti di situ apabila memaklumkan akan ada pemain lain yang bakal memperkuat Harimau Malaya.
Penantian para peminat untuk melihat kelibat Wan Kuzain akhirnya bakal menjadi kenyataan apabila Hamidin mengesahkan bahawa bwliau akan menyarung jersi Malaysia.
“Sepatutnya kali ini (Pestabola Merdeka), Wan Kuzain dah sertai kem Malaysia. Beliau telah menghubungi saya beberapa bulan lalu namun nasib tidak baik kerana Wan Kuzain sedang cedera.
“InsyaAllah selepas pulih dari kecederaan, beliau akan datang, dapat pasport dan bermain untuk Malaysia,” jelasnya ketika ditemui di Wisma FAM tempoh hari.
Beliau juga memaklumkan bahawa telah berhubung dengan Kuzain sejak beberapa bulan lalu sekaligus menyaksikan Harimau Malaya bakal mendapat tambahan pemain berkualiti.
Aksi seterusnya menyaksikan Harimau Malaya akan berdepan India bagi aksi persahabatan bulan November ini.