Tan Sri Haji Hamidin Mohd Amin dilaporkan sedia kembali menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Portal Scoop melaporkan Hamidin mempertimbangkan kemungkinan itu selepas bimbang pelan F:30 yang dilancarkan pada 2018 berpotensi gagal mencapai matlamat jika tampuk FAM dipimpin figura yang kurang berpengalaman.
Secara ringkas, pelan F:30 ialah pelan di mana sukan bola sepak dibangunkan di seluruh negara, menaikkan taraf profesionalisme FAM dan meningkatkan kualiti skuad kebangsaan.
Selain bimbang pelan F:30 gagal mencapai matlamat, Hamidin juga dikatakan bimbang dengan imej Harimau Malaya dan FAM yang terjejas akibat isu membabitkan tujuh pemain warisan negara.
Hamidin melihat satu kepimpinan jitu amat diperlukan jika mahu memulihkan semula integriti, kredibiliti dan keyakinan orang ramai terhadap badan induk itu.
Era beliau dari 2018 hingga Februari 2025 menyaksikan Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia 2023 di bawah pimpinan Kim Pan-gon.
Buat masa ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membantu FAM melaksanakan reformasi dalaman selepas barisan kepimpinan badan induk itu meletak jawatan pada Januari lalu.
Pemilihan FAM dijangka diadakan selepas AFC selesai membentangkan laporan mereka sebelum Piala Dunia 2026 berlangsung.