Advertisement
Hannah Yeoh Jawab Pendirian Kerajaan Tentang Penganjuran Sukan Komanwel 2026
UltraSukan
UltraSukan
MSN

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyatakan Malaysia tidak akan menjadi penganjur Sukan Komanwel 2026 sekiranya perlu menggunakan wang pembayar cukai.

Hal ini dinyatakan beliau dalam Sesi Waktu Menjawab Menteri di Parlimen selepas ditanya Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden tentang pendirian kerajaan sebagai penganjur temasya itu.

Tambah Hannah lagi, isu penganjuran temasya sukan ketiga terbesar di dunia itu bakal dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung esok.

“Setakat ini pendirian Kerajaan Persekutuan belum diketahui tetapi saya boleh nyatakan pandangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu apa yang pasti KBS sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan nombor satu dan tidak sama sekali membazirkan wang pembayar cukai jika pun bersedia untuk menganjurkannya.

“Kita akan pastikan pendekatan konservatif diambil setiap kali ia melibatkan duit rakyat. Jika kerajaan bersetuju untuk melaksanakannya, KBS mencadangkan perbelanjaan tidak melebihi geran yang diberikan oleh CGF (Persekutuan Sukan Komanwel),” katanya hari ini.

Malaysia ditawarkan peluang sebagai tuan rumah oleh CGF ekoran penarikan diri negeri Victoria, Australia sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 pada pertengahan tahun lepas.

Victoria berbuat demikian kerana tidak mampu menanggung peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AU$2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AU$7 bilion (RM21.78 bilion)

Selain menawarkan peluang sebagai tuan rumah, CGF turut menawarkan suntikan geran berjumlah £100 juta (RM603 juta) bagi membantu negara sebagai tuan rumah.