Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan kelulusan dana berjumlah RM50,000 kepada Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD).
Kelulusan geran ini diumumkan beliau kepada media selepas majlis penyerahan bendera kepada pasukan dodgeball kebangsaan yang akan bertanding dalam Kejohanan Dodgeball Dunia di Austria pada Ogos ini.
Hannah berharap dengan geran tersebut, ini dapat membantu MAD mempromosikan sukan dodgeball di Malaysia.
“RM50,000 peruntukan menteri (KBS). Saya akan keluarkan dari peruntukan menteri untuk Malaysia Association of Dodgeball (MAD) sebagai geran kepada mereka,
“Bagi mereka, ini adalah seperti geran pentadbiran atau pun menyokong lebih banyak pasukan ke kejohanan yang lain, itu terpulang kepada persatuan,” katanya seperti yang dilaporkan Nadi Arena.
Sementara itu, Presiden MAD, Datuk Radha Krishnan mengakui gembira menerima geran tersebut kerana ini akan membantu mereka dari segi kewangan.
Ini termasuk membantu persiapan pasukan dodgeball kebangsaan bila bersaing dalam Kejohanan Dodgeball Dunia 2024 nanti.
“Kita perlukan penajaan sebab kita hantar pasukan ke luar negara banyak kali. Dan pada bulan depan, kita hantar pasukan kita sertai Kejohanan Dunia di Austria.
“Jadi, geran yang diberi YB (Hannah) kepada kami, sebahagian daripadanya akan digunakan untuk perbelanjaan. Jadi, kami nak ucapkan terima kasih kepada YB kerana sukar nak dapatkan tajaan,” tambahnya.
MAD mensasarkan pingat emas untuk acara lelaki bersesuaian dengan status skuad dodgeball lelaki kebangsaan sebagai juara bertahan.