Bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM meletak jawatan sebagai satu tindakan tepat.
Ini kerana pada hemat beliau, ini menunjukkan barisan Exco FAM mengutamakan kepentingan dan masa depan bola sepak negara.
“Tindakan tepat. Terima kasih AJK Eksekutif FAM di atas khidmat yang telah diberikan bagi melihat gambaran yang lebih besar. Masa depan bola sepak negara didahulukan, mengatasi jawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Barisan Exco FAM diketuai Pemangku Presiden, Datuk Wira Yusoff Mahadi mengambil langkah meletak jawatan dalam satu kenyataan pada Rabu.
Keputusan ini membuka jalan kepada pentadbiran FAM ditadbir oleh Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Hj. Rahman dan Bendahari, Datuk Ismail Karim.
Ini turut membuka jalan kepada pembentukan pasukan khas AFC diketuai Timbalan Setiausaha Agung, Vahid Kardany. Pasukan yang akan dibentuk ini bertujuan menilai prestasi FAM dalam pelbagai aspek.
Laporan akhir pasukan tersebut akan diserahkan kepada FAM untuk tindakan selanjutnya. Laporan itu juga akan dibentangkan kepada pihak berkepentingan dalam Kongres FAM untuk persetujuan.
Hannah berharap dengan bantuan AFC, ini bukan saja membantu usaha reformasi dalaman FAM. Malah, ini akan menjadikan badan induk itu lebih baik selepas ini.
“Semoga FAM kembali lebih kuat hasil daripada proses semakan dan reformasi ini,” ujarnya.
Hannah kini memikul tugas sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) susulan rombakan Kabinet pada Disember lalu.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dipilih sebagai pengganti beliau oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.