Ramai peminat bola sepak yang menonton perlawanan Bekpes Hot FM dan Johor Darul Ta’zim FC semalam terpukau dengan aksi Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.
Menerusi satu video yang dimuatnaik baginda di akaun media sosial peribadinya, ramai kagum dengan kelincahan dan kebijaksanaanya sebagai pemain perancang.
Ini kerana Tunku Ismail kelihatan bersahaja mencipta pelbagai hantaran kepada bahagian serangan Harimau Selatan yang diketuai Safee Sali dan jurulatih JDT, Tano Solari.
Bukan itu sahaja, Tunku Ismail juga tidak melepaskan peluang menjaringkan gol apabila mendapat kedudukan yang sesuai di atas padang.
Perlawanan semalam menyaksikan JDT berpesta gol 15-2 ke atas Bekpes Hot FM dengan baginda mencipta hatrik.
Sebaik video tersebut dimuatnaik, ramai peminat bola sepak memuji kemahiran teknikal yang dimiliki Tunku Ismail.
Malah, ada yang mengatakan kemahiran teknikal baginda menyamai kemahiran pemain profesional.
Selain TMJ, Solari dan Safee, Farizal Marlias, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Martin Prest dan Alistair Edwards turut membarisi kesebelasan utama Harimau Selatan.
Bekas jurulatih JDT, Benjamin Mora turut membuat penampilan semalam sekaligus membuatkan penyokong pasukan selatan tanah air itu teruja.
Video penuh: Aksi TMJ Memukau Peminat JDT