Hanya Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon yang difahamkan meletak jawatan namun staf sokongan lain bakal kekal bersama Harimau Malaya.
Perkara ini dijelaskan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom mengenai situasi yang melanda kem negara ketika ini.
Umum mengetahui bahawa berita peletakan jawatan jurulatih berusia 55 tahun itu sudah tersebar luas dan dilaporkan oleh beberapa media di Korea Selatan.
Khabar ini bagaimanapun difahamkan hanya Pan-gon sahaja yang meninggalkan Harimau Malaya dengan staf kejurulatihan lain akan kekal di Kelana Jaya.
“Difahamkan hanya Kim Pan-gon sahaja akan meninggalkan skuad kebangsaan. Pau Marti bersama staff sokongan yang lain kekal di Kelana Jaya,” ujar Fina Nasrom di laman X.
Malaysia telah merekodkan 20 kemenangan, 5 keputusan seri dan 10 kekalahan dalam tempoh dua tahun sejak dikendalikan oleh Kim Pan-gon.
Kemenangan terbesar skuad negara adalah ketika menentang Solomon Islands 10-0 manakala kekalahan terbesar berlaku di Piala Asia ketika menentang Jordan 4-0.