Bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan mahu pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk terus kekal membimbing Malaysia.
Razman berpendapat pengendali asal Korea Selatan ini mempunyai filosofi tersendiri untuk membawa Harimau Malaya ke satu tahao yang lebih baik.
“Saya rasa untuk mempersiapkan pasukan yang mantap bukan boleh kita ambil dalam jangka masa pendek. Apa yang diatur oleh Kim Pan-gon saya rasa sudah terbaik.”
“Kita sudah layak ke Piala Asia baru-baru ini jadi bermakna dari segi prestasi dan kualiti pasukan ada penambahan. Kita sudah boleh bersaing dengan pasukan-pasukan besar.”
Kim Pan-gon juga telah berjaya merekodkan peningkatan luar biasa buat skuad Harimau Malaya.
“Saya rasa perlu fokus dan kekalkan Kim Pan-gon. Ini kerana yang paling penting sekali adalah filosofi yang dimahukan atau dikehendaki Kim Pan-gon sudah diketahui pemain-pemain Harimau Malaya.”
“Kalau kita bawa masuk jurulatih baru mungkin perlukan masa dan agak sukar untuk dapatkan keputusan yang baik,’ ujar Razman Roslan kepada MakanBola.
Dalam aksi terakhir Malaysia pada Jun lalu, Kim Pan-gon dalam sidang media pasca perlawanan menegaskan untuk kekal membimbing dan menerajui skuad Harimau Malaya.
Sejak dilantik sebagai pengendali Malaysia pada tahun 2022, pengendali berusia 55 tahun ini berjaya melonjakkan kedudukan ranking FIFA negara di kedudukan terbaik. Malaysia kini berada di ranking ke 135 dunia berbanding ranking ke 174 kira-kira beberapa tahun yang lalu.