Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim berharap kepimpinan baharu FAM dapat membawa perubahan signifikan kepada bola sepak Malaysia.
Hasrat itu dizahirkan beliau selepas mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan FAM diketuai presiden baru badan induk itu, Datuk Mohd Joehari Ayub di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Pertemua itu turut disertai Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan mantan Presiden FAM, Tan Sri Haji Hamidin Mohd Amin.
Pertemuan itu menyaksikan Joehari berkongsi agenda terkini bola sepak negara terutama dalam soal memperkasakan pembangunan peringkat remaja dan akar umbi.
Selain itu, beliau turut berkongsi perkembangan terkini persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini.
Selepas pertemuan itu, Anwar mengucapkan selamat berjaya kepada saf kepimpinan baharu FAM untuk penggal 2025-2029.
“Selamat maju jaya buat barisan kepimpinan baharu FAM. Semoga dapat membawa perubahan signifikan kepada sukan bola sepak negara,” katanya di X.
Joehari diiringi Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram; tiga Naib Presiden FAM, Datuk Seri Hj. Rosmadi Ismail, Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin dan Dato’ Dollah Salleh.
Turut sama dalam rombongan badan induk itu ialah Exco FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan serta Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman.