Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada duo naturalisasi negara, Paulo Josue dan juga Endrick Dos Santos bersama skuad kebangsaan.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu dalam satu temubual menjelaskan bahawa kehadiran Endrick dan Paulo bakal memberi nilai tambah yang cukup penting kepada pasukan berdepan Turkmenistan dan juga Hong Kong.
Prestasi cemerlang kedua-dua oemain kelahiran Brazil ini bersama pasukan dengan proses memberi kerakyatan juga dapat memberi pilihan kepada jentera tengah pasukan.
Mengulas lanjut, beliau meletakkan harapan agar mereka dapat menyesuaikan diri secepat mungkin bersama barisan pemain sedia ada.
“Kami meletakkan harapan yang tinggi kepada Endrick dan juga Paulo untuk membantu jentera serangan pasukan. Akan tetapi, kami tidak mahu memberi tekanan kepada mereka dan bantu mereka untuk menyesuaikan diri.”
“Jadi mereka boleh mengenal pasti kemampuan diri mereka setelah membuktikan kaliber dalam saingan liga. Semua orang tahu tentang kemampuan mereka dan kita perlu memberi sokongan,” jelasnya oleh FAM.
Dalam panggilan kali ini, Pan-gon hanya membariskan dua pemain naturalisasi dengan nama-nama seperti Lee Tuck, Liridon Krasniqi dan Sumareh tidak mendapat tempat dalam pasukan.
Beliau juga mahu mengekalkan tahap permainan berintensiti tinggi dalam pasukan selain memperbaiki beberapa aspek menjelang aksi penting di Stadium Sultan Ibrahim.