Skuad bola sepak kebangsaan kendalian Kim Pan-gon dijangka akan membuat persiapan seawal 18 Mac ini dengan para pemain yang terpilih akan berkampung di Johor sebelum melalui dua perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Noor Azman Rahman. Beliau memaklumkan Kim Pan-gon akan mengeluarkan senarai pemain yang dipilih dalam masa terdekat.
Kemudahan canggih yang dimiliki JDT sudah pasti akan dimanfaatkan sepenuhnya barisan pemain negara agar dapat menampilkan aksi yang positif dalam dua aksi persahabatan tersebut.
“Pemain akan mula menyertai latihan pada 18 Mac ini dengan mereka akan berkampung iaitu menggunakan sepenuhnya kemudahan di JDT.
“Kita mahu memastikan skuad kebangsaan meraih keputusan positif sekali gus mahu manfaat kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) untuk pasukan dapat melakukan persiapan rapi,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Dengan para pemain yang akan mula berlatih pada 18 Mac, ini bermakna para pemain mempunyai masa yang cukup untuk membentuk keserasian yang baik sebelum perlawanan bertemu Turkmenistan pada 23 Mac dan diikuti perlawanan menentang Hong Kong pada 28 Mac.