Harimau Malaya Beraksi Dalam Tekanan
MakanBola
Azri/MakanBola

Kekalahan 0-2 Malaysia di tangan Tajikistan dalam pentas akhir Pestabola Merdeka semalam telah membuka mata banyak pihak menjelang Piala Asia di Qatar Januari tahun hadapan.

Beberapa kesilapan telah dikenalpasti jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon namun dalam masa yang sama berharap para pemain dapat belajar dari kesilapan tersebut.

“Apa pun yang berlaku, saya akan katakan jangan berputus asa. Tekanan tinggi pasti ada dan dalam menghadapi tekanan kita perlu lebih tenang. Apabila kita melakukan kesilapan, kita perlu belajar dari kesilapan itu,” jelas Kim Pan-gon dalam sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Pan-gon juga akui para pemain negara beraksi dalam keadaan tertekan kerana mahu menjulang Piala Pestabola Merdeka yang kali terakhir dijulang pada 2013 iaitu 10 tahun yang lalu.

“Kami menghadapi tekanan yang besar terhadap diri kami sendiri kerana kami mahu menjadi juara. Penyokong ada di sana dan pihak lawan juga memberikan tekanan. Saya memberikan tekanan kepada mereka (pasukan Tajikistan) juga.

“Jadi pemain berada di dalam situasi tekanan yang tinggi. Pada saya, secara keseluruhan, ianya masih baik. Cuma terdapat sedikit kesilapan. Semua boleh lakukan kesilapan. Tapi apa yang kita perlu lakukan sekarang adalah, kita perlu belajar dan bukan kritik mana-mana pemain yang lakukan kesilapan,” tegas Pan-gon.

Dengan tamatnya Pestabola Merdeka, tumpuan skuad kebangsaan kini beralih ke Kelayakan Piala Dunia yang mana Malaysia bakal bertemu Kyrgyzstan pada 16 November di gelanggang sebelum bertemu Taiwan di tempat lawan pada 21 November.