Hasrat pasukan Harimau Malaya untuk menguji kemampuan pasukan menentang Jepun sepertinya tidak kesampaian.
Perkara ini telah pun disuarakan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Mohd Amin yang menjelaskan bahawa Malaysia berkemungkinan terlepas peluang bertemu Jepun September nanti.
Ini susulan terdapat tiga pasukan yang sudah pun memberi maklum balas kepada FAM dan bersetuju untuk bertemu Malaysia dalam aksi persahabatan FIFA.
“Kita sepatutnya berjumpa Jepun tetapi mereka ada komitmen dan kita sudah ada pasukan lawan lain, mungkin kemudian kita akan jumpa (dengan Jepun). Kim Pan Gon akan melihat peluang itu selepas November.”
Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada peluang lain sebelum Malaysi melangkah ke Piala Asia di Doha, Qatar tahun hadapan.
“Sepatutnya selepas November sudah perlu lawan dengan pasukan lebih besar tetapi ada kemungkinan berjumpa pada Kelayakan Piala Dunia 2026 & Piala Asia 2027, Jepun dan Korea Selatan atau mungkin Disember sebelum pergi ke Doha,” katanya kepada Harimau Malaya.
Malaysia kini telah melonjak ke tangga 138 dunia dan mahu terus memperbaiki kedudukan dengan Hamidin yakin bahawa anak didik Pan-gon mampu menembusi ke kelompok 120 terbaik dunia tahun hadapan.